1 November 2009
KUALA LUMPUR: “Bagaikan satu stigma, seni khat biasanya dikaitkan dengan golongan berlatarbelakangkan pendidikan agama dan berbakat dalam seni saja. Tanggapan begitu tidak benar sama sekali,” kata Jurutera Awam Swasta, Abdul Hayyi Awang, 26, yang menyertai Pertandingan Seni Kaligrafi sempena Manifestasi Perdana Seni Khat 2009 (MPSK) di sini, semalam.
MPSK yang berlangsung itu dianjurkan Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) bersama Persatuan Seni Khat Kebangsaan (PSKK).
Menurut Abdul Hayyi, pembabitan peserta daripada pelbagai latar belakang kerjaya dan pendidikan pada MPSK kali ini membuktikan minat masyarakat, termasuk golongan profesional dalam warisan seni Islam berkenaan cukup memberangsangkan.
Pemuda dari Kota Bahru, Kelantan, itu berkata ia petanda positif ke arah memartabatkan seni terbabit ke peringkat nasional dan wadah terbaik mencungkil bakat baru di kalangan generasi muda.
“Seni khat ini akan ‘mati’ jika tidak ada kesinambungan daripada generasi muda. Saya berbangga ada inisiatif melanjutkan program begini,” katanya.
“Ia (pertandingan) juga cukup mencabar memandangkan pembabitan peserta bukan saja di kalangan muka baru, malah penggiat seni khat berpengalaman,” katanya.
MPSK yang memasuki edisi keempat kali ini mula diperkenalkan sejak 1999 dan dianjurkan sekali dalam tempoh tiga tahun.
Pertandingan itu membabitkan tiga kategori, iaitu Seni Khat Tradisional Di Atas Kertas (Spontan), Seni Khat Tradisional Di Atas Kanvas dan Seni Lukisan Khat Di Atas Kertas (kontemporari) yang dibuka kepada dewasa dan remaja bawah 18 tahun.
Kira-kira 80 peserta dewasa dan 40 remaja terbabit dalam pertandingan berkenaan.
Penuntut Sarjana Muda Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Noor Afnie Husna Lokman, 19, berkata peluang buat julung kali menyertai pertandingan itu menjadi landasan terbaik untuk menilai kemampuannya dalam seni berkenaan.
“Saya meminati seni khat sejak berumur 13 tahun lagi dan penyertaan saya kali ini cukup bermakna untuk mendapatkan idea dan menimba pengalaman daripada penggiat seni khat berpengalaman,” katanya.